Saturday 12 September 2015

Marilah Membaca

"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." Surah Al Alaq: 1 -5.

Inilah ayat² Allah terawal yang diturunkan ke muka bumi ini. Inilah ayat yang menunjukkan permulaan New World Order. Inilah ayat yang menunjukkan permulaan zaman intelektual. Zaman menggunakan akal. Inilah ayat yang menunjukkan permulaan zaman sains, teknologi, rasionalisme dan peradaban manusia. Inilah ayat yang menamatkan zaman hokus pocus magis dan lain².

Hanya dalam Quran terkandung ayat yang mengajak umatnya membaca. Hanya dalam Quran terkandung ayat yang menerangkan "direct intervention" antara Tuhan dan manusia.

Istimewanya ayat ini adalah, Allah menegaskan bahawa Dia sendiri yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan;

Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan

Maka, siapakan guru kita? Tidak lain dan bukan adalah Allah SWT. Bilamana kita mengulangkaji pelajaran, membaca bahan ilmiah dan ketika Allah mengilhamkan kefahaman, itu bermakna Allah lah yang mendidik kita. Sesungguhnya...

"... Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” Surah Qaf: 16.  

Allah tidak menspesifikkan hanya ilmu agama. Sebaliknya segala ilmu (matematik, fizik, kimia, biologi dan lain²) yang terdapat di muka bumi ini adalah milik Allah. 

Namun hukum (sunnatullah) ini tidak hanya tertakluk pada Muslim. Bukan Muslim juga bilamana dia membaca maka Allah yang memberi kefahaman padanya.

Lebih istimewanya ayat ini ialah tentang perumpamaan yang diberi. Bukan istilah tak masuk akal non scientific. Bukannya perihal lalat dalam bekas air, dan bukannya kuasa magis hokus pokus. Tapi perkaitan dengan penciptaan manusia mengikut ringkasan sains.

"Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?" Jawablah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya (urusan menurunkan) mukjizat-mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah, dan aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata". (Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman." Surah Al Al Ankabuut: 50 - 51.   

Al Quran adalah sebuah susunan ilmu yang amat hebat. Ilmu yang yang hanya dapat dimanipulasi oleh manusia. Makhluk segagah gunung pun tidak mungkin mampu menanggung idea yang terdapat dalam Quran: 

"Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." Surah Ak Hasyar: 21.

Di dalam Al Quran terkandung cetusan idea untuk manusia meneroka ilmu dan menguasai alam (menjadi Khalifah). Tapi idea ini hanya berguna dan manfaat bagi mereka yang menggunakan akal:

"Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran." Surah Saad - 29.

Mari Membaca

Al Quran menggalakkan untuk kita membaca. Tak kisahlah apa pun bahan bacaan asalkan tiada unsur maksiat. Namun bacaan yang paling mulia semestinya Al Quran itu sendiri.

Umat Islam Melayu terutamanya di Malaysia diajar untuk membaca tetapi untuk tidak memahami Quran. Malahan barang kali dilarang untuk membaza tafsir kerana ditakuti menjadi sesat. Quran tafsir Melayu pertama jika tak silap aku ditulis oleh orang Indonesia. Kalau tak silap aku oleh Pendita Hamka.

Berbeza dengan di Eropah, berapa ramai yang menemui sinar Islam setelah membaca tafsir Quran. Tiada pula yang sesat. Malah Sheikh Ahmad Deedat selalu menggalakkan Muslim membaca Quran. Sedihnya, hanya di Malaysia, Melayu mempunyai terlalu banyak syarat untuk baca Quran. Terlalu susah untuk baca Quran bila menjadi Melayu. 

Aku secara peribadi telah membaca berbagai jenis buku. Berapa ramai dari kita pernah membaca Bible? Jika kita tak pernah baca Bible, masakan kita boleh mengkritiknya? Aku juga ada membaca God Delusion oleh Dr Hawkins. Syukur aku masih tidak juga seorang Atheist. Begitu juga bahan bacaan Shiah dan anti hadis.

Umat Islam zaman terdahulu mencapai zaman kegemilangan kerana mereka tidak memisahkan ilmu kepada duniawi dan akhirat. Pada mereka semua ilmu itu adalah ilmu Allah. Malangnya hanya Muslim zaman kini yang memisahkannya. Malahan ada di antara (bukan semua) tok guru mahupun uztaz yang mengetengahkan bahawa rahmat tuhan hanya melalui ibadah ritual. Mereka menyeru Muslim untuk hanya berada di masjid tanpa perlu bekerja. Pada aku mereka inilah syaitan sebenar yang membawa Muslim ke lembah kebinasaan. Jika Muslim hanya di masjid dan hanya melakukan kerja biasa² sahaja, masakan Muslim dapat menguasai dan meneroka teknologi baru dan seterusnya menjadi umat contoh?

Berbanding dengan Muslim dahulu mereka merupakan peneroka teknologi dan sains yang ulung.

Sedutan dari buku: Sejarah Dunia Dari Sudut Pandang Islam.
Betapa hebat, agong dan modennya umat Islam suatu ketika dahulu.

Pendek kata tujuan kita membaca adalah supaya kita boleh membuat keputusan yang lebih bijak. Maka marilah kita membaca. Bacalah apa sahaja asalkan ia bukan bahan yang tidak berfaedah. Melalui pembacaan lah Allah akan mendidik kita secara terus. Hanya dengan membaca minda akan berkembang dan menjadikan kita orang yang lebih bijak.

"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna." Surah Az Zumar: 18.